Jumaat, 26 Julai 2013

Matahari


Cuba kau tanya kepada mentari
Tak jemukah kau asyik menyinar
Tak rentungkah kau sentiasa membahang
Tak lelahkan kau tak henti memancar
Tak sepikah kau sendirian jauh dari teman

Tak dambakah kau akan keredupan
Tak rindukah kau akan kedinginan
Tak inginkah kau menikmati kegelapan
Tak mahukah kau berehat seketika

Nanti dijawabnya
Wahai manusia inilah tugasku
Inilah sunnatullah, selari dengan fitrah
Perintah ilahi kupatuhi, tanpa nyeri

Kalau  jemu menyinar cahaya,
Gelitalah seluruh alam
Jika aku mahu kedinginan
Kaku beku sejagat kehidupan
Jika aku lelah membahagi sinar
Suram kelam alam maya

Tak pernah aku sepi
Kerana ku tahu
Kejauhanku bermanfaat
Dekatku menjemput musnah


©Kamariah Osman
8 April 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan